suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Empat tahun TNB pupuk generasi muda duta bijak tenaga

Pelajar di SMK Selandar, Melaka bekerjasama melakukan aktiviti Powering The Future (PTF).

BAK kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Begitu juga dengan amalan penggunaan tenaga secara cekap, usaha memupuk kesedaran tentang kepentingan penjimatan tenaga perlu bermula sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaan elektrik dan kelestarian alam sekitar.

Hal ini demikian kerana Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil, khususnya arang batu dan gas asli sebagai sumber utama penjanaan elektrik, meskipun negara terus mempergiat usaha peralihan kepada tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro.

Program PTF melibatkan pelajar di SMK Khir Johari, Perak.

Kebergantungan itu ditambah pula dengan penggunaan elektrik secara berlebihan, boleh meningkatkan pelepasan karbon sekali gus menjejaskan kesihatan awam dan memburukkan lagi perubahan iklim.

Justeru, usaha menangani isu berkenaan bukan sahaja memerlukan pembangunan infrastruktur baharu, malah turut menuntut perubahan sikap dan tabiat masyarakat agar menggunakan tenaga elektrik dengan lebih cekap.

Menyedari kepentingan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Star Media Group Berhad (SMG) meneruskan program pendidikan sekolah Powering The Future (PTF) bagi membudayakan penggunaan tenaga secara bijak dan mampan dalam kalangan generasi muda.

Memasuki tahun keempat pelaksanaannya, program PTF 4.0 telah berjaya mendidik seramai 2,431 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 30 sekolah di Putrajaya, Selangor, Melaka dan Perak.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti berkumpulan, pelajar sekolah menengah ditugaskan mengumpul kad ‘peralatan elektrik’ bagi melengkapkan rumah simulasi masing-masing dengan mengutamakan penggunaan peralatan yang cekap tenaga.

Program itu merupakan sebahagian daripada Malaysia Energy Literacy Programme (MELP), iaitu inisiatif literasi tenaga yang diperkenalkan oleh TNB bagi meningkatkan pemahaman pelajar tentang tenaga, termasuk sumber tenaga boleh baharu menerusi kaedah pembelajaran interaktif dan berasaskan permainan.

Menerusi pendekatan tersebut, pelajar sekolah menengah didedahkan kepada simulasi situasi dunia sebenar serta latihan pemikiran kritis yang menekankan amalan penggunaan tenaga secara cekap.

Sementara itu, pelajar sekolah rendah pula menyertai aktiviti praktikal yang membantu mereka memahami konsep tenaga dengan lebih mudah melalui pengalaman pembelajaran secara langsung.

Murid-murid dari SK Ayer Merbau, Melaka menguji model tenaga boleh baharu yang menggunakan kuasa angin.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Arifin A. Rahman berkata, penyertaan dalam program berkenaan terus berkembang sejak ia mula diperkenalkan pada 2023.

Menurutnya, usaha membudayakan kecekapan tenaga perlu diberi perhatian khusus dalam kalangan generasi muda supaya sumber tenaga negara dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.

Kamal Arifin (tiga dari kanan) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz (kot kelabu), berinteraksi dengan para pelajar semasa aktiviti yang berlangsung ketika majlis pelancaran inisiatif utama pada 30 Jun.

“Kami mahu melihat kecekapan tenaga menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda, supaya sumber tenaga dapat terus digunakan secara cekap.

“Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu bermula dengan generasi muda kerana kunci kepada masa depan yang lebih cerah terletak pada mereka,” katanya.

Selepas empat edisi penganjuran, program PTF secara keseluruhannya telah memberi manfaat kepada lebih 11,114 pelajar di 12 buah negeri.

Murid-murid dari SK Tanjong Malim, Perak mempersembahkan tarian khas bagi memeriahkan majlis pelancaran program di negeri itu.

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan TNB dan SMG dalam meningkatkan literasi tenaga serta membentuk generasi yang lebih peka terhadap kesan penggunaan elektrik terhadap alam sekitar.

Inisiatif berkenaan juga dilihat penting dalam menyokong aspirasi Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selain memastikan amalan penggunaan cekap tenaga dapat diterapkan dalam kehidupan seharian sejak di bangku sekolah.

 

Artikel Lain