DUA wanita dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas suami masing-masing tergamak 'menjual' dan menawarkan khidmat seksual mereka kepada lelaki asing menerusi media sosial.Lebih menyedihkan, salah seorang mangsa didakwa diugut akan dihalau keluar dari rumah bersama anak sekiranya enggan memenuhi permintaan suaminya. Kegiatan tidak bermoral berkenaan terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah sewa di daerah Tambaksari di Surabaya, Indonesia kira-kira pukul 12.15 tengah malam Isnin.Serbuan berkenaan membawa kepada penahanan dua lelaki yang disyaki menjadi dalang utama, selain menyelamatkan kedua-dua mangsa serta menahan seorang pelanggan yang berada di lokasi kejadian.Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak serta Pencegahan Pemerdagangan Orang Polis Bandar Raya Surabaya, Melati Sari berkata, salah seorang suspek dipercayai menawarkan khidmat seksual isterinya menerusi Facebook bagi memenuhi fantasi seksnya.Suspek berusia 39 tahun didakwa menjadikan isterinya yang berusia 37 tahun sebagai mangsa kegiatan itu.Sementara itu seorang lagi lelaki berusia 25 tahun dipercayai melakukan perbuatan sama terhadap isterinya atas alasan masalah kewangan.Menurut Melati, kedua-dua suspek dipercayai mengenakan bayaran antara 700,000 hingga 800,000 rupiah (kira-kira RM175 hingga RM200) bagi setiap perkhidmatan seksual.Siasatan awal turut mendapati salah seorang suspek didakwa mempromosikan isterinya menerusi akaun atau kumpulan Facebook bernama Pass Sby, termasuk menawarkan perkhidmatan seks bertiga.Polis percaya kegiatan itu dilakukan sebanyak lima kali, dengan empat kejadian berlaku di rumah sewa manakala satu lagi di sebuah hotel.Ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek, mangsa dan seorang pelanggan dibawa ke ibu pejabat polis untuk menjalani pemeriksaan lanjut.Antara barangan yang dirampas ialah dua unit kondom, satu bungkusan kondom kosong, sebuah telefon bimbit jenama Vivo, wang tunai 700,000 rupiah (RM175) serta sebuah buku nikah.Kes itu disiasat mengikut Artikel 455 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan pemerdagangan orang.Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 15 tahun. -Agensi